gamatexpress.blogspot

Pages

Friday, July 30, 2010

Bisikan Hati

Haikal merenung dalam susana petang melalui jendela biliknya. Hatinya tidak senang. Tidak tahu untuk dijelaskan perasaannya. Namun yang pasti, apabila wajah itu dipandang, ada perasaan yang aneh menganggunya. Hati lelakinya yang selama ini beku dengan mana-mana wanita tiba-tiba terbit sifat ingin melindungi dan mahu memahami hati gadis itu.

* * * * *

Gedebuk! Liyana jatuh terduduk.

"Kau ni kenapa?" Lelaki di hadapannya dipandang tajam.

Shahrul hanya mampu tersenyum. Suka benar dia lihat gadis ini marah. "Tak sengaja."

Membulat mata Liyana. Tak sengaja? Bukan dia tidak perasan mata Shahrul sempat singgah padanya sebelum lelaki itu dengan sengaja melanggar tubuhnya.

Nafasnya ditarik dalam. Ikutkan hati, memang lunyai dia kerjakan Shahrul.

"Tak nak bangun? Ke best landing macam nangka busuk?" Shahrul mengusik. Bukan selalu dapat dengar suara minah ni. Harap je jiran sebelah rumah. Keluar rumah pun jarang. Hanya di sekolah sahaja dia dapat bertemu.

Liyana menjeling geram. Menyampah!

Shahrul menghulurkan tangan mahu membantu. "Aku tolong kau."

"Tak payah! Malang betul nasib aku terserempak dengan kau hari ni." Liyana bangun dari duduknya dan berlalu pergi.

Shahrul menarik nafas. Hati Liyana terlalu keras.

* * * * *

"Rul…lepas dapat result spm ni, Rul nak pergi mana?" Ilya merenung wajah Shahrul, lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

"Tak tahu lagi. Tengok result." Air terjun buatan tangan dihadapannya direnung asyik. Satu wajah tiba-tiba mengusik ketenangannya.

"Liya mana?" tanyanya tiba-tiba.

"Kat dalam. Kenapa tanya pasal budak tu? Buang air liur je. Entah apa yang dia guna-gunakan sampai semua orang boleh suka dia." Ilya mendengus. Dia tidak suka bila hal adiknya dibangkitkan.

"Rul balik dululah. Ada hal." Shahrul terus melangkah dari situ. Tadi, Ilya yang mengajaknya berbual tetapi dia tidak betah bertahan jika Liyana diperlekeh begitu.

* * * * *

"Macam mana ma? Dah ada tawaran untuk kakak?" Ilya tidak menyabar bertanya pada Puan Rohana ketika ibunya itu sedang sibuk membelek beberapa keping sampul surat yang diberi oleh pembantu rumahnya sebentar tadi. Ketika itu mereka sedang bersarapan pagi.

"Tak adalah sayang. Tapi surat untuk adik adalah." Puan Rohana memandang Liyana. "Nah, sayang."

Liyana menyambut. Surat ditangannya dibelek sebelum melihat isi dalamnya. Berubah seketika riak di wajahnya.

"Surat apa tu dik?" Encik Harun meyoal.

Liyana tidak menjawab tetapi dihulurkan surat itu pada papanya.

"Alhamdulillah… tawaran sambung belajar." Ada rasa bangga terselit bila surat itu dibacanya.

"Betul bang? Syukur Alhamdulillah."

Ilya sudah memuncung panjang. Inilah salah satu sebab mengapa dia benci pada adiknya itu, Liyana sering mendapat apa yag diingininya.

Beberapa minit kemudian telefon rumah berdering.

"Buk…ini ada panggilan buat ibu." Sura pembantu rumahnya kedengaran.

Puan Rohana menghilang ke ruang tamu. Beberapa minit kemudian dia kembali dengan senyuman.

"Siapa yang telefon?" Encik Harun bertanya tatkala isterinya sudah kembali duduk di meja makan.

"Sue. Anak dia pun dapat tawaran macam adik. Bolehlah Rul tolong tengok-tengokkan Liya kat sana nanti."

"Mana boleh ma! Sepatutnya kakak yang dapat tawaran tu!" Ilya sudah menghentak-hentakkan kakinya.

"Mungkin bukan rezeki kakak ke sana. Belajar di Malaysia pun apa salahnya. Dekat dengan Mama dan Papa." Lembut Puan Rohana memujuk.

Liya berdiri dan memandang tepat pada Ilya. "Kau memang tak guna. Seronoklah kau kan sebab aku tak dapat. Dasar anak pungut!"

"Ilya!" suara Encik Harun meninggi.

Ilya tmendengus dan berlalu ke tingkat atas. Pintu biliknya dihempas kuat-kuat. Hatinya benar-benar panas!

Liyana cuma mampu mengeluh. Ada sahaja perkara yang buat Ilya semakin benci padanya. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu mana silapnya.

Telefon bimbitnya berbunyi. Melihatkan nama pemanggil, hatinya menjadi semakin membahang.

"Ha! Kau nak apa?"

"Nak you."

"Gila!"

"Ilya, I betul-betul sayangkan you." Kedengaran suara yang merayu.

"Kau tak faham bahasa ke Im? Aku. Tak. Suka. Kau." Satu persatu disebutnya.

"Tak dapat hati, dapat body cukuplah."

"Kau ni memang gila!" Ilya menengking sebelum mencampakkan handsetnya.

* * * * *

Di rumah Shahrul pula…

"Yes!" Shahrul sudah melompat suka. Kebetulan yang tak disangka. Dia sudah kehabisan idea untuk merapati Liyana. Mana tahu apabila dia hampir menyerah kalah, Allah mempermudahkan jalannya dengan cara ini.

* * * * *

Shahrul menghampiri Liyana yang sedang menyandar pada sebuah bangku. Beraninya dia duduk sorang-sorang dekat sini…

Wajah putih bersih yang sedang memejam rapat itu direnung. Sudah lebih setahun mereka tercampak ke negara asing ini namun Liyana tetap dingin seiring dengan kedinginan kota London ini. Tiba-tiba timbul keinginannya untuk mengusik gadis cantik itu. Ranting halus yang berada berdekatan situ diambilnya dan dimain-mainkan ke telinga Liyana.

Liyana menggeliat kegelian. Terbelik matanya apabila wajah Shahrul menjamu pandangan.

"Kau ni kenapa, Shah? Kau memang tak suka tengok aku senang kan? Dengki!" Liyana geram. Baru sahaja dia mahu duduk bersantai merehatkan otak, ada sahaja yang mengacau.

Shahrul mengeluh. Sedikit kecil hati ditengking begitu. "Sorry…"

Liyana buat tidak tahu.

"Aku tak tahu sedalam mana kebencian kau pada aku. Aku tak tahu apa silap aku sampai kau benci sangat dengan aku. Selangkah aku dekat dengan kau, seribu langkah kau menjauh dari aku. Kenapa Liya?" Sayu suara Shahrul memandang Liyana.

Liyana terdiam. Bencikah dia pada Shahrul? Tidak. Dia tidak pernah membenci lelaki itu. Shahrul tidak pernah mengerti apa yang dirasanya. Dia rasa rendah diri untuk berdamping dengan Shahrul. Shahrul punya segalanya. Sedangkan dia hanya anak angkat pada Puan Rohana dan Encik Harun. Dia tidak tahu asal usulnya. Mungkin ini juga menjadi salah satu sebab mengapa Ilya terlalu membencinya. Ilya juga tahu mengenai ini tetapi dia cukup beruntung kerana kakak angkatnya itu tidak pernah mengungkit. Cuma menunjukkan kebenciannya. Mereka dikenali sebagai kembar tahun kerana kebetulan Ilya lahir bulan satu manakala dia bulan dua belas.

Dia bangkit dari duduknya, mahu pergi dari situ. Sebolehnya dia mahu jauh dari Shahrul. Namun baru beberapa langkah, lengannya dipegang kejap.

"Aku takkan lepaskan kau selagi kau tak jawab soalan aku." Mendatar suara Shahrul. Dia harus membuat perhitungan dengan Liyana. Cukuplah jiwanya terseksa menanti jawapan.

"Aku tak ada jawapan."

"Liya, please…"

Liyana menggeleng.

"Aku langsung tak layak untuk berada dalam hati kau?"

Liyana tidak menjawab. Hanya membantu di situ.

"Sikit pun kau tak pernah rasa perasaan lain bila dengan aku?"

Liyana tetap keras di situ.

"Jawab Liya…Aku mahukan jawapan. Kalau betul kau tak ada perasaan pada aku, terus teranglah. Setidak-tidaknya aku tak lagi kacau kau lepas ni. Dan kau pun mungkin akan lebih tenang."

Liyana menggigit bibir bawahnya. Nafas disedut dalam. "Aku yang tak layak dengan kau, Shah. Sanggup kau terima aku yang asal usul tak jelas, tak tahu mana mak ayah kandung. Atau mungkin anak luar ni…"

Shahrul meletakkan jarinya pada bibir Liyana. Dia menggeleng. "Bila aku ambil risiko untuk jatuh cinta dengan kau, maknanya aku dah bersedia terima siapa pun kau. Aku ikhlas. Siapa pun kau, itu tak penting. Cuma…izinkan aku mengisi hati kau. Aku cuma mahu cinta dari seorang Liyana. Aku nak jaga kau. Aku nak jadi sebahagian dari hidup kau. "

Liyana terkedu mendengar ucapan ikhlas dari bibir Shahrul. Air matanya bergenang.

"Beri aku peluang itu Liyana. Aku janji tak akan sia-siakan."

Makin lebat air mata yang menuruni pipinya. "Kau tak dengar ke Shahrul? Aku bukan anak kandung mama dan papa aku."

"Aku tak peduli."

"Aku mungkin anak luar nikah…"

"Aku tak kisah."

Liyana mengeluh berat dengan jawapan Shahrul. Degil betul!

"Kau cinta aku tak?" Shahrul menyoal selepas itu.

"Entah."

"Liya…"

Liyana senyap.

Shahrul pula yang mengeluh. Perlahan kakinya melangkah. Ego Liyana bukan sahaja sekeras kerikil tetapi setinggi langit.

"Shah…" Liyana memanggil lembut.

Shahrul terus melangkah.

"Shah, kau tak nak peluang tu?"

Serta-merta langkah Shahrul terhenti. Dia menoleh. Wajahnya penuh kekeliruan.

Liyana mengangguk sambil tersenyum. Nak uji sikit pun tak boleh. Cepat benar rajuknya. Shah...Shah...

Shahrul mengucap syukur dalam hati. Terima kasih, Ya Allah!

"Jom sayang. Kuliah dah nak mula." Shahrul menggamit Liyana.

Mereka jalan beriringan meredahi musim sejuk di kota London.


* * * * *

Beberapa tahun kemudian...

Shahrul dan Liyana mengheret beg beroda ketika tiba di lapangan terbang. Mereka pulang ke tanah air bersama segulung ijazah dan sebuah cinta.

Dari jauh nama mereka berdua dipanggil.

"Rul!" jerit Ilya dan terus berlari mendakap Shahrul.

Shahrul terperanjat. Tubuh Ilya dijauhkan darinya. Wajah Liyana dipandang menanti reaksi gadis itu. Namun hanya ketenangan sahaja yang dipamerkan.

Liyana hanya menahan rasa di lubuk hatinya. Inilah yang ditakutinya ketika mula jejakkan kaki ke tanah air tadi. Tanpa mempedulikan pasangan di sebelahnya, dia melangkah menghampiri Puan Rohana dan Encik Harun. Tangan tua itu di salam. Tidak lupa juga pada ibu bapa Shahrul yang berada tidak jauh dari situ.

"Makin lawa pulak Liya ni." Puan Suhaila merenung Liyana di hadapannya.

Liyana membalas pujian itu dengan senyuman. Seketika matanya bertembung dengan Shahrul yang sedang merenungnya. Ilya yang becok disebalah langsung tidak dilayan.

"Mari balik. Ada perkara yang nak dibincangkan. Berita gembira buat Shahrul dan Liya." ujar Encik Harun.

Ilya yang mendengar kata-kata papanya itu tersipu. Pasti tentang itu!

* * * * *

"Rul tak setuju!" Shahrul membangkang keras cadangan ibunya.

"Kami dah bincangkan perkara ni masa Rul ada di London lagi. Dah lama si Ilya tu tunggu kamu. Kamu tak kesiankan dia ke?" Puan Suhaila cuba berlembut.

"Bu..." Shahrul menggeleng. "Rul tak nak..."

"Rul..Kesian Ilya. Kalau Rul tak mahu dia, siapa lagi sanggup kahwin dengan Ilya tu?"

"Banyak lagi lelaki lain bu. Bukan Rul je lelaki yang ada dekat dunia ni."

"Kamu perlu tahu sesuatu..." Puan Suhaila menggantungkan katanya.

"Tahu apa?"

Puan Suhaila menghela nafas berat. Shahrul perlu tahu hal yang satu ini. Dengan lafaz bismillah dia memulakan bicaranya. Satu-persatu diceritakan pada anaknya itu sehingga Shahrul terduduk lemah.

* * * * *

"Kakak dah tak suci dik..." Ilya mengongoi di bahu Liyana.

Liyana terpempan. Baru beberapa minit dia sampai di rumahnya, khabar ini yang diterima.

"Siapa lelaki tu?"

Ilya menggeleng sambil menekup mukanya.

"It\'s okay akak. Kalau akak rasa terseksa ingat pasal dia, akak jangan fikir."

"Lepas akak kena macam tu, akak teringat balik salah akak pada Liya. Akak jahat sangat dengan Liya dulu. Akak fikir masa depan akak. Tapi...syukurlah auntie Sue tu janji akan kahwinkan akak dengan Shahrul. Kalau auntie Sue tak cakap macam tu, mungkin akak dah tak ada dekat dunia ni."

Liyana menarik nafas dalam. Hatinya cuba dikuatkan. Beberapa kali dia berdoa agar air matanya tidak tumpah di hadapan Ilya. Biarlah dia berkorban kali ini. Cukuplah kasih sayang seorang kakak yang diinginkan selama ini.

"Doakan kebahagiaan kakak ya?" Ilya menggenggam tanya Liyana.

Liyana mengangguk sambil tersenyum pahit.

* * * * *

"Tahniah Shah." Liyana memulakan perbualan. Hari ini, dia mengajak Shahrul berjumpa. Kisahnya bersama Shahrul harus ditamatkan segera.

"Tak kelakar, Liya." Mendatar suara Shahrul. Tidak senang dengan ucapan tahniah dari kekasih hati.

"Liya tak bergurau. Walau apa yang pernah berlaku antara kita di London dulu, anggaplah ia tak pernah berlaku. Hanya itu yang Liya minta." tenang suara Liyana ketika menuturkanya.

"Senangnya Liya cakap. Lebih tiga tahun Liya...tapi ini yang Shah dapat? Lupakan segalanya tentang kita? Shah bukan robot, Liya."

"Shah, please...Kak Ilya lebih memerlukan Shah sekarang. Liya tak nak hubungan adik-beradik kami yang baru dibina terkubur kalau Liya terus dengan Shah."

"Habis, perasaan Shah macam mana? Hati Shah, Liya. Macam mana dengan hati Shah?"

Liyana menggeleng. "Maaf, Shah. Cukup sampai sini."

Shahrul putus asa dengan ketegasan Liyana. Nafasnya ditarik dalam.

"Baiklah. Shah lepaskan Liya kalau itu yang dapat bahagiakan Liya." Seiring dengan kata-kata itu setitis air mata lelakinya jatuh. Dia terus melangkah dan tidak lagi menoleh.

Liyana hanya mampu memandang Shahrul. Air matanya mengalir perlahan. Semoga berbahagia, Shah...

* * * * *

"Shah mana? Jarang saya dapat tengok dia sekarang." Encik Ismail menyedut minuman petang yang dsediakan di meja bulat.

"Dalam bilik dialah. Entahnya bang. Murung je sejak beberapa minggu ni. Susut badan dia. Pelik saya. Orang kalau nak kahwin ceria, dia pulak berkurung dalam bilik. Tawaran kerja yang dia dapat tu pun dia minta tangguh dulu." Cerita Puan Suhaila. Sejak berita pertunangan digemburkan pada anaknya itu, Shahrul berubah mendadak. Tidak tahu apa yang tidak kena.

"Dia dah ada orang lain tak dekat London dulu?" Encik Ismail serkap jarang.

"Hisy...mintak simpanglah bang. Tak sanggup saya bermenantukan orang putih. Dulu pun dia pernah cakap takkan bawak balik minah saleh."

"Kalau bukan orang putih, orang melayu lah agaknya."

"Orang melayu? Siapa?"

"Kita tunggu je nanti." Dalam sekali maksud Encik Harun. Dia seolah dapat mengagak apa yang sedang melanda anak tunggalnya itu. Tersepit antara cinta dan belas.

* * * * *

Liyana memulakan tugas pertamanya pada hari itu. Mungkin dengan menyibukkan kerjanya, dia boleh terlepas dari memikirkan tentang perkahwinan Shahrul dan kakaknya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bilik pejabatnya di ketuk dari luar.

"Masuk!"

"Hmmm...dah ada gaya."

Terkebil-kebil Liyana mendengar kata-kata yang berbaur sindiran oleh lelaki yang baru sahaja melangkah selamba ke biliknya.

"Encik ni siapa?"

"Tak ada orang sebut pasal saya pada awak?"

Dia mengambil beberapa saat untuk memikir. Mungkinkah...

"Encik...Haikal?" teragak-agak Liyana meneka. Dia baru teringat akan pengurus besar yang masih belum ditemui. Pengurus besar yang sibuk diperkatakan oleh pekerja-pekerja wanita.

"Macam mana bilik ni? Okey? Kalau tak selesa, saya tukarkan ke bilik lain." Haikal tidak mengiakan malah menukar ke topik lain. Dingin suaranya.

"Eh, tak payah susah-susah. Dapat bilik sendiri pun lebih dari cukup." Liyana menegah pantas. Inikah ketua yang dikatakan kacak dan berhati batu itu?

"Good. So, kalau tak ada apa-apa masalah, kita boleh pergi sekarang."

"Pergi?" Liyana terpinga-pinga.

"Memang dah jadi kewajipan setiap kali ada pekerja baru, mesti raikan. Contohnya...lunch together."

"Semua staff?"

Haikal mendekatkan wajahnya pada Liyana dan berbisik perlahan, "You and me only."

Terkebil-kebil Liyana dibuatnya memandang wajah tampan ketuanya yang begitu hampir dengannya.

"Awak duduk macam ni, sampai bila pun kita tak makan. Boleh kita pergi sekarang, Cik ...?"

"Liyana Aliya!" baritahu Liyana pantas.

"Ha! Cik Ali.."

Liyana hanya menahan geram di hati mendengar namanya disebut begitu. "Aliya! Liyana Aliya!"

"Apa-apalah Cik Ali. So, shall we?"

Liyana laju mengangguk bagai burung belatuk bila wajah Encik Haikal semakin mendekatinya. Sedikit lagi hidung mereka akan bercantum.

"Good!"

* * * * *

"Diet?"

Terlepas sudu di tangan Liyana apabila disoal mengejut begitu.

"Ohh...awak ada lemah semangat rupanya. Sayang...muda-muda lagi dah ada penyakit."

Liyana membulatkan matanya mendengar komen ketuanya itu. Kenapalah bila dengan lelaki ini dia selalu sahaja terkulat-kulat dan senang di buli? Padahal sebelum ini, walau seteruk mana pun hatinya diuji dia masih mampu bertenang.

"Tak sedap ke makanan awak tu? Nah, makan makanan saya. Saya makan yang awak punya." Cepat sahaja tangan lelaki itu menukar pinggan.

Liyana pula tidak mampu bertahan. Hanya terkebil-kebil melihat lelaki itu menyudu makanan bekasnya.

"Kenapa tak makan? Awak tak diet kan?"

"Eh, mana ada."

"Kalau macam tu, makanlah. Cuba rasa dulu makanan tu."

Liyana masih serba salah. Takkan nak makan bekas ketuanya itu.

"Makan, sayang."

Lembut suara ketuanya menyuruh membuatkan dia bagaikan robot. Terus sahaja tangannya menyudu makanan di depan mata. Atau lebih tepat dia terkejut dengan panggilan Encik Haikal padanya.

"Good girl."

* * * * *

"Cik Ali!"

Cet! tak habis-habis panggil aku Ali. Ingat aku keturunan Ali Baba ke?

"Awak mengumpat saya?"

"Hah?"

"Hmmm...betullah awak mengumpat saya. Awak menyumpat saya pasal apa? Hmm?" selmba sahaja lelaki itu menyoal.

"Err...tak! Mana ada." Dia menggeleng pantas. Menunduk.

"Liyana Aliya, pandang saya." lembut sekali suara ketuanya itu membuatkan dia mengangkat kepala. Meremang bulu romanya.

Matanya beradu dengan mata lelaki di hadapannya itu. Dan tidak semena-mena jantungnya laju berdegup. Hanya beberapa saat dia menunduk kembali.

"Awak marah saya sebab panggil awak Ali?"

Laju Liyana mengangkat kepala. Psikik ke apa dia ni?

"Saya panggil awak dengan nama tu sebab saya yakin hanya saya seorang yang panggil awak macam tu."

Memang pun! Liyana mendengus kecil. Mana berani nak tunjuk marah terang-terang. Dia ni kan psikik! Mana tahu tiba-tiba nanti dia ni pukau aku, jadikan hamba abdi dia. Ish, Nauzubillah...

"Tapi jangan risau, saya akan tukar panggilan nama tu suatu masa nanti. InsyaAllah kalau diizin Allah."

Nak panggil aku dengan nama Aliya atau Liyana pun susah sangat ke sampai nak tunggu nanti? Dengusnya sendiri.

"Kalau cakap sendiri-sendiri macam tu Cik Ali, sampai bila-bila pun tak akan senang hati awak tu. Tambah-tambah kalau mengutuk orang. Makin senget bahu sebelah kiri awak."

Liyana membulatkan matanya. Sempat dijeling bahu sebelah kirinya. Senget ke?

"Banyak sangat ke awak mengutuk saya?"

"Eh, tak adalah." Cepat dibetulkan duduknya.

"Masa lunch nanti, tunggu saya."

Kalau aku tak tunggu, bukan dia tahu pun.

"Kalau awak tak tunggu saya, saya heret awak ikut saya."

Gulp!

Liya memandang ketuanya yang sudah menghampiri pintu dengan pandangan kurang percaya. Tiba-tiba langkah lelaki itu terhenti dan meoleh ke arahnya.

"Lagi satu, saya bukan psikik."

Selepas itu, dia ditinggalkan terkebil-kebil seorang diri.

* * * * *

Liyana menggeleng-geleng beberapa kali di hadapan televisyen. Tak boleh...tak boleh...

"Mana aci! Asyik ikut kepala dia je..." rungutnya sendirian.

"Ish, aku ni pun satu. Dah macam lembu cucuk hidung je bila dengan dia." katanya lagi. Tidak tahu kenapa, bila dia bersama Encik Haikal, ketuanya itu bagai tahu sahaja mengawal geraknya. Jika sebelum ini dia mampu melakukan apa sahaja mengikut kehendaknya, namun dengan ketuanya itu...dia hanya mampu mengangguk dan mengiakan setiap kata lelaki itu.

"Kau ni apasal? Mereng dah?" Mia menegur Liyana yang pada pandangannya sudah cukup \'kritikal\'. Ini kalau orang tak kenal tiba-tiba tengok dia buat perangai macam ni, sah-sah jadi penghuni tetap tanjung rambutan.

"Aku...dah tak sanggup!"

"Tak sanggup amendanya?"

"Tu...boss kat tempat aku tu...kau tak tahu. Macam-macam dia buat kat aku."

Mia mengerutkan dahinya. Pelik. "Sejak bila kau jadi macam ni? Dulu masa dekat sekolah pantang menyerah kalah."

"Tu lah pasal. Aku pun tak tahu. Yang penting aku rasa dia tu ada six sense."

"Apasal pulak?"

"Ye la, apa yang aku nak buat, apa aku nak makan, semua dia tahu." Dia menggeleng lagi. Ngeri!

"Kau keluar makan hari-hari dengan bos kau tu?"

Dia mengangguk. "Nak buat macam mana? Sebelum keluar lunch, mesti dia tunggu aku. Selagi aku tak ikut dia, selagi tu dia kacau. Tak pun ugut!"

"Kacau macam mana?"

"Dia tengok aku buat kerja."

"La...kata bos. Takkan tengok pekerja dia buat kerja pun tak boleh kot?"

"Aku tak bolehlah. Pandangan dia tu..." Liyana menganggantung kata.

"Kenapa dengan pandangan dia? Ha! Kau takut jatuh cinta eh? Ke kau dah jatuh cinta dengan dia?"

Terbeliak matanya mendengar serkap jarang dari Mia. Mustahil...Mustahil...Takkan sesenang tu je boleh jatuh cinta? Tak mngkinlah...Lagipun, dengan Shahrul dulu pun bukan main susah dia mahu mengaku cinta.

"Tak mungkinlah Mia. Aku dah serik. Cinta ni menyusahkan." Liyana menggeleng lemah

"Percaya cakap aku Liya. Aku percaya, antara kau dengan Shahrul tu bukan cinta. Shahrul aku yakin dia memang cintakan kau. Tapi kau, aku tak rasa macam tu kan?"

"Kalau bukan cinta apa?"

"Masa tu kau baru nak cari pengalaman. Belum jumpa yang serius lagi. Cuba kau renungkan, bila dengan Shahrul kau asyik ikut kepala kau je. Tapi bila dengan bos kau ni, kau ikut telunjuk dia. Maknanya, kalau kau kahwin dengan Shahrul, jadi queen controllah kau!"

Kurang asam betul! "Kau ni kan..."

"Tak... Maksud aku, bos kau tu mampu control peel kau. Shahrul tak. Itu bezanya. Bos kau tu ada potensi jadi calon suami yang baik. Percayalah..."

Liyana membulatkan matanya. "Kau ni! Dia tu tak cakap apa-apa pun, kau yang kenen-kenenkan aku dengan dia. Kalau dia dengar, buat malu aku je."

"Kau suka dia kan?"

"Ha?"

"See?"

"What?"

"Orang kalau sukakan seseorang tu memang macam ni. Bila tanya soalan cepumas macam tu, ginilah gayanya. Sebijik macam gaya yang kau buat sekarang."

Erk?! Ye ke macam tu?

* * * * *

sedikit pesanan dr saya,
maaf, cerpen ni ada dua bhgn...
sy pecahkan sbb rsanya agk pnjg cerpen ni...
kalau sy minta pndgn pembaca boleh x?
Antara Haikal dan Shahrul mana yg jd pilihan?

0 comments:

Post a Comment